Wanita Tidak Puas Seks
Walaupun seks selalu menjadi ‘isu tertutup’ di kalangan wanita, kajian Pfizer
melalui ‘Global Better Sex Survey’ (GBSS) tahun lalu mendapati, majoriti wanita
berpendapat, seks adalah satu aspek kehidupan yang penting
Sebanyak 85 peratus wanita di dunia menganggap seks adalah penting untuk
mencapai hubungan yang memuaskan. Malah, 83 peratus wanita Malaysia berkongsi
pendapat yang sama
GBBS juga mendapati secara global lebih 50 peratus wanita tidak mencapai
kepuasan seksual sepenuhnya. Angka yang sama juga didapati di kalangan wanita di
Malaysia
Pakar Terapi Seksual dan Kaunselor Perhubungan, Dr Rosie King, berkata masalah
ketidakpuasan seksual wanita jarang mendapat perhatian berbanding lelaki yang
mendapati seks adalah antara komponen penting dalam kehidupan manusia
Ketidakpuasan seksual wanita adalah satu misteri kerana ia merujuk kepada
pelbagai masalah seksual di kalangan wanita. Ketidakpuasan seksual yang paling
biasa adalah ketiadaan libido,” katanya
Dr Rosie berkata, terdapat banyak faktor yang mungkin menyumbang ke arah
ketidakpuasan seksual wanita termasuk masalah disfungsi seksual bukan saja di
kalangan wanita malah pasangan mereka
Sebenarnya, disfungsi seksual lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding
lelaki. Disfungsi seksual di kalangan lelaki dianggarkan pada tahap 31 peratus
sementara di kalangan wanita 43 peratus. Ini bermakna setiap dua daripada lima
wanita mengalami disfungsi seksual,” katanya.
Jenis disfungsi seksual wanita yang biasa
Ketiadaan libido (pelincir)
Disfungsi seksual yang paling biasa di kalangan wanita adalah ketiadaan libido.
Antara faktor yang biasa dikaitkan dengan ketiadaan libido termasuk tekanan
perasaan, terlalu letih, kemurungan, putus haid, mempunyai anak kecil dan
hubungan yang tidak bahagia.
Pada peringkat awal sesuatu hubungan misalnya ketika bercinta, nafsu seksual
wanita lebih tinggi kerana peningkatan dalam hormon testosteron. Selepas 18
bulan sehingga tiga tahun, tahap nafsu ini akan menurun.
Selepas itu ramai wanita tidak pernah lagi atau jarang sekali mengalami nafsu
yang spontan terhadap seks, walaupun mereka mungkin masih bersedia terhadap
perlakuan seks sekiranya pasangan mereka memulakannya.
Umumnya nafsu seksual lelaki adalah lebih tinggi daripada wanita. Perbezaan ini
dikenali sebagai percanggahan nafsu. Kebanyakan wanita yang rendah libido juga
akan mengalami masalah menangani percanggahan nafsu ini.
Gangguan nafsu berahi
Satu lagi masalah seksual yang biasa adalah gangguan nafsu berahi. Wanita yang
mengalami gangguan nafsu berahi, bermasalah untuk membangkitkan rasa ghairah dan
menikmati hubungan seks yang berlaku dalam keadaan kering serta tidak selesa.
Mereka juga tidak dapat mencapai nikmat dan keseronokan ketika melakukan
hubungan seks. Kebanyakan wanita tidak menyedari mereka memerlukan antara 15
hingga 20 minit untuk bercumbu sebelum bersedia untuk melakukan hubungan intim.
Banyak perubahan berlaku pada pelvis wanita yang akan membolehkan hubungan seks
berlaku dalam keadaan yang selesa. Sekiranya tiada masa diberikan untuk
perubahan ini berlaku, wanita mungkin akan berasa sakit ketika melakukan
hubungan seks.
“Wanita mendapati lebih sukar untuk menumpukan perhatian terhadap pengalaman
yang erotik berbanding lelaki. Justeru, nafsu seksual mereka bangkit dengan
lebih perlahan. Sekiranya seseorang wanita mempunyai masalah untuk membangkitkan
nafsu seksual, kemungkinan besar dia akan mengalami masalah mencapai orgasma dan
menderita gangguan orgasma,” katanya.
Gangguan kesakitan seksual
Gangguan kesakitan seksual atau dispareunia adalah satu lagi masalah seksual
bagi wanita. Hubungan seks yang menyakitkan mungkin disebabkan ketiadaan rasa
ghairah atau ia mungkin disebabkan masalah fizikal yang mendasari seperti
jangkitan atau keradangan. Satu bentuk hubungan seks yang menyakitkan dikenali
sebagai `vaginismus’ iaitu hubungan seks tidak dapat dilakukan kerana kekejangan
otot lantai pelvis.
Sebab-sebab disfungsi seksual wanita
Dr Rosie berkata, masalah seksual wanita dan ketidakpuasan seksual boleh
disebabkan oleh pelbagai faktor dari segi biologi, psikologi, jalinan hubungan,
seksual dan keadaan semasa.
Bagaimanapun, kajian mendapati bahawa disfungsi seksual lelaki seperti disfungsi
erektil atau pancutan air mani terlalu awal boleh melemahkan fungsi seksual
wanita. Selain itu, ia juga mengehadkan nikmat dan kepuasan seksual wanita.
“Wanita yang bersuamikan lelaki disfungsi erektil (ED) akan turut berhadapan
dengan masalah rendah libido, kurang nafsu berahi, kelemahan orgasma dan
kepuasan seksual yang berkurangan,” katanya.
Namun, apa yang menarik, apabila masalah ED lelaki berjaya dirawat, tindak balas
seksual di kalangan isteri akan bertambah baik.
“Ramai lelaki berasa malu untuk mendapatkan bantuan bagi masalah ereksi mereka.
Mereka mungkin tidak menyedari bahawa masalah ereksi mereka boleh memberi kesan
bukan saja dalam hubungan mereka dan emosi isteri malah juga terhadap
keseronokan, fungsi dan kepuasan seksual isteri,” katanya.
Dr Rosie berkata, apabila seorang lelaki mengalami ED, dia secara tipikalnya
akan kehilangan harga diri dan keyakinan lalu menjadi murung dan mula
menyisihkan diri daripada pasangannya. Anehnya, isteri pula sering kali
menyalahkan diri mereka apabila suami mengalami masalah seksual.
“Banyak soalan akan timbul, adakah saya terlalu gemuk atau terlalu tua? Apakah
dia tidak lagi menyintai saya?. Akhirnya, kedua-dua pihak mengasingkan diri dan
hubungan intim pasangan mula retak,” katanya.
Jika lelaki mendapatkan rawatan untuk ED dan rawatan itu berjaya mengembalikan
ereksi yang keras dan tegang pada peringkat maksimum (dikenali sebagai ereksi
gred 4 pada Skala Kekerasan Ereksi), tindak balas seksual isteri juga akan
bertambah baik.
Dr Rosie berkata, hubungan intim selalu dirujuk sebagai `seks bertindak sebagai
pelekat dan pelincir dalam hubungan’.
“Pelekat kerana ia dapat membantu merapatkan hubungan pasangan dan pelincir
kerana hubungan seks yang baik dapat membantu pasangan mengatasi masalah lain
dalam kehidupan mereka,” katanya.
Justeru, adalah penting bagi pasangan untuk memupuk kemesraan dalam hubungan
mereka dengan menjalin ikatan emosi yang intim (berkongsi tanggapan dan perasaan
peribadi), hubungan rekreasi yang intim (menikmati masa yang dihabiskan
bersama-masa) dan hubungan seksual yang intim (melakukan hubungan seks dengan
aktif dan tetap).
Jika mana-mana satu pihak mengalami masalah seksual, pasangan itu wajar
mendapatkan bantuan profesional dan masalah ini perlu ditangani dengan segera.
没有评论:
发表评论